KOTA KINABALU : Tiga pembinaan pos kawalan baharu dirancang di bina bagi meningkatkan tahap keselamatan di Sabah.
Menteri Pertahanan,Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Status projek pembinaan tiga pos kawalan ini di peringkat perolehan sebelum proses tender dijalankan dalam tempoh terdekat.
Katanya, langkah ini dllihat dapat memperkukuhkan pasukan keselamatan sekali gus melaksanakan pelbagai projek strategik.
“Pembinaan pos kawalan ini meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang ancaman sama ada dari dalam atau luar negara.
“Sehingga kini kekuatananggota angkatan tentera di Sabah kini berjumlah kira-kira 20,000 orang dengan tambahan 3,000 anggota untuk operasi tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini.
Khaled berkata, kehadiran pasukan keselamatan, kerajaan pusat melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyalurkan dana berjumlah RM2 bilion bagi melaksanakan beberapa projek penting di Sabah.
“Antara projek dalam pembinaan kem tentera membabitkan Kem Paradise dan Kem Sahabat di daerah Lahad Datu.
“Selain itu pembinaan rumah keluarga anggota tentera serta menaik taraf infrastruktur dan penyelenggaraan pos kawalan sempadan,” jelas Khaled.
Mengulas mengenai kunjungan beliau berkata, ia bertujuan mewujudkan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kementerian Pertahanan.
“Kita juga memaklumkan kepada Musa tentang keadaan dan situasi keselamatan di Sabah terutama pasa musim perayaan ini,” kata Khaled.
Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md.Lepi serta Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi.