BELURAN : Tiga maut manakala empat lagi cedera parah selepas sebuah traktor yang dinaiki pekerja ladang, hilang kawalan dan jatuh ke dalam gaung di sebuah kawasan ladang sawit di Jalan Sapi Nangoh di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Beluran Supt Hasan Majid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada 5.42 petang, melibatkan seorang lelaki warga Indonesia berumur 28 tahun, serta dua wanita warga Filipina (42 dan 28 tahun), maut di tempat kejadian.
“Manakala empat mangsa yang mengalami cedera parah ialah pemandu jentera lelaki
Indonesia (29 tahun) dan tiga wanita Filipina (22, 26 dan 45 tahun).
“Ketika kejadian, semua mangsa berada di atas traktor yang sama, dan semasa traktor itu melalui jalan curam, pemandu gagal mengawal jentera mengakibatkan traktor itu terbabas dan terus menjunam ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Hasan berkata siasatan mengenai kejadian itu masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.