Tiga kontena arak disita, rampasan lebih RM1.29 juta

LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menyita tiga kontena mengandungi minuman keras bernilai lebih RM1.29 juta termasuk duti dan cukai dalam operasi di Pelabuhan Merdeka, di sini.

Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag. Tuah berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan oleh Pasukan Operasi Penguatkuasaan bersama Bahagian Perkastaman.

“Pemeriksaan mendapati minuman keras itu diimport menggunakan tiga kontena dan diikrarkan melalui dua Borang Kastam No. 1,” katanya dalam sidang media khas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati syarikat pengimport mempunyai lesen sah dengan kuota 250,000 liter, namun dipercayai mengimport melebihi had dibenarkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 138 Akta Kastam 1967.