Tiga Geng Loyok curi barangan kenderaan tumpas

TAWAU : Polis berjaya menumpaskan kegiatan ‘Geng Loyok’ selepas menahan tiga lelaki disyaki terlibat dalam kes mencuri spot rim serta tayar kenderaan di sekitar bandar baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, hasil maklumat risikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau memberkas seorang suspek lelaki tempatan berusia 28 tahun di sebuah bengkel motosikal di kompleks Takada, jam 4.40 petang, rabu lalu.

Katanya, polis kemudiannya merampas sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda bersama disyaki barang dicuri serta merampas sebuah telefon.

“Hasil semakan awal pihak polis mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau serta mempunyai satu rekod jenayah berkaitan aktiviti perjudian.

“Susulan daripada tangkapan tersebut polis memberkas seorang lagi suspek lelaki warga asing berumur 24 tahun di sekitar UTC Tawau kira-kira jam 11.20 pagi, khamis lalu,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Jasmin berkata, suspek tersebut dipercayai terlibat dengan kes yang disiasat serta merampas tali pinggang berkepala buku lima dipakai serta mengesahkan suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Susulan tangkapan dijalankan, polis kemudiannya berjaya memberkas seorang lagi suspek lelaki warga asing berumur 32 tahun kira-kira jam 2.10 petang kelmarin di sekitar bangunan UTC Bandar Tawau.

“Semakkan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan rompak serta diletakkan salam senarai dikehendaki polis,” jelas Jasmin.

Menurutnya, rabu lalu satu laporan dibuat mangsa seorang lelaki berumur 24 tahun mengesahkan komponen kenderaan mangsa yang diletakkan di luar rumah dicuri dua individu tidak dikenali.

“Ketika itu mangsa tiada di rumah manakala kejadian tersebut disedari ibu saudaranya kemudiannya menghubungi mangsa dan kerugian dianggarkan berjumlah RM1,000.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” kata Jasmin.