Tujuh projek produk AgroMakanan Negara dilaksanakan di Sabah

KOTA KINABALU : Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menyerahkan cek berjumlah RM33,593,226.00 bagi melaksanakan tujuh projek meningkatkan hasil produk agromakanan negara di negeri ini.

Katanya, projek tersebut membabitkan pemerkasaan ternakan bersepadu ruminan, pembangunan buah Pusat Pengumpulan Hasil Tani, pemulihan sawah padi terbiar seluas 534.55 hektar.

“Ia juga merangkumi pembinaan sebuah kilang kopi serta projek pembangunan tanaman kontan (Keladi Cina) akan dilaksanakan dibeberapa daerah di negeri ini.

“Projek ini nanti akan diselia oleh kementerian melalui kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di sini semalam.

Menguluas mengenai kunjungan hormat tersebut Mohamad Sabu berkata, kementeriannya akan menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengoptimumkan penggunaan tanah ke arah keterjaminan makanan negara.

“Selain itu kita akan kerjasama untuk melaksanakan projek pembangunan  meliputi pemerkasaan sektor ternakan, tanaman serta aktiviti pengeluaran dan pemasaran produk hiliran di Sabah,” jelas Mohamad Sabu.