Tidur 3 jam, masalah lif kerap rosak runggutan penghuni PPR Taman Sri Keramat

PUTATAN : Tidur hanya selama tiga jam setiap hari, masalah lif uzur dan kerap rosak antara runggutan lebih 1,000 penghuni di Taman Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat Putatan.

Penghuni mendakwa, masalah ini sudah berlarutan lebih tiga tahun sekali gus gagal ditangani secara baik meskipun pelbagai aduan dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, seorang penduduk penghuni Blok A PPR Taman Sri Keramat Fairuz Rom berkata, bekalan air hanya dapat berfungsi sepenuhnya sekitar jam 2 hingga 3 pagi yang berlarutan hampir setiap hari.

Katanya, penghuni yang bekerja pada waktu siang hari mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti seharian memandangkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) hanya melepaskan air sekitar jam 10 malam setiap hari.

“Air hanya dilepaskan ke dalam tangki bermula jam 10 malam dan akan penuh serta boleh digunakan selepas jam 2 hingga 3 pagi.

“Air ini akan disalurkan ke penghuni bahagian blok D dahulu itu pun terpaksa menunggu sehingga jam 4 hingga 5 pagi….Bukan semua blok akan memperoleh bekalan air ini,” katanya secara Eksklusif kepada Sabah News Today.

Fairuz berkata, jika sampai jam 4 hingga 6 pagi bekalan air baru dapat diperoleh bila masa penghuni PPR Taman Sri Keramat boleh berehat dan tidur, sebelum turun bekerja pada hari yang sama.

“Sekitar jam 7 pagi penghuni Taman Sri Keramat akan turun bekerja…Jadi inilah masalah sebahagian besar penghuni di sini yang sudah merasai masalah ini berlarutan lebih tiga tahun.

“Kami sudah hantar pelbagai aduan kepada pihak berkuasa termasuk ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan JANS, namun sehingga kini tiada maklum balas,” jelas Fairuz.

Sementara itu, penghuni Blok C, PPR Taman Sri Keramat Verni Baihat berkata, kejadian ketiadaan bekalan air di kawasan ini pernah berlarutan lebih selama seminggu.

Katanya, penghuni terpaksa mengambil air dari pili bomba untuk kegunaan mencuci pakaian serta bagi menampung segala keperluan seharian anak-anak mereka.

“Penghuni tiada pilihan terpaksa mengangkat sendiri bekalan air menggunakan baldi serta bekas tong air lain sehingga naik melalui tangga sehingga ke tingkat 10 rumah mereka.

“Paling menyedihkan pernah beberapa situasi apabila penghuni berhadapan dengan keadaan lif uzur dan kerap rosak, mereka terpaksa menaiki tangga sehingga ke tingkat 10,” jelas Verni.

Menurutnya, jika keperluan air minuman, penghuni tiada pilihan lain terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar hampir setiap hari untuk membeli air daripada kawasan luar.

Sementara itu seorang lagi penghuni Blok C PPR Taman Sri Keramat Jabir Saif berkata, masalah ini sudah berlarutan pebih tiga tahun penghuni sekali gus sehingga kini tiada jalan penyelesaiannya.

Katanya, isu kekurangan bekalan air, tidur hanya sekitar tiga hingga empat jam sehari dilihat boleh menjejaskan tahap kesihatan penduduk di Taman Sri Keramat.

“Apa yang kami boleh banggakan tinggal di PPR Taman Sri Keramat ini jika langkah penyelesaian gagal diambil kira oleh pihak berkuasa.

“Siapa yang boleh tahan dengan kehidupan seperti ini, air merupakan keperluan utama semua orang….Adalah tidak adil kami di Taman Sri Keramaat tidak memperoleh kemudahan seperti kawasan lain,” jelas Jabir.