TENOM: Tidak berasas dan melampau. Itulah yang disifatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew terhadap 11 pertuduhan gangguan seksual yang dihadapinya hari ini.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, menganggap itu adalah sebahagian daripada ujian terhadap dirinya.
Menurutnya, walaupun terkejut dengan tuduhan yang dikenakan, beliau reda dengan segala ujian itu.
Katanya, ini adalah antara ujian Allah SWT dan tujuannya untuk mengampunkan dosa, beri pahala dan juga menaikkan darjat.
“Saya tidak rasa apa-apa, saya tahu saya tidak bersalah dan yakin ini perancangan ramai orang daripada dulu lagi yang cuba mengganggu kerja-kerja amal kami.
“Memang setiap kali terkena ujian kita rasa berat, tapi saya dari dulu belajar, kita kena berdoa dan jangan bersedih kerana ujian yang datang itu adalah satu sunnahtullah,” katanya laporan Berita Harian ketika ditemui, hari ini.
Katanya, pertuduhan itu juga bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti beliau dan mendakwa dirancang oleh kumpulan tertentu sejak sekian lama.
“Saya melihat pertuduhan ini satu pertuduhan yang tidak berasas, melampau dan memang tujuan utamanya saya nampak untuk menjatuhkan kredibiliti saya supaya saya menghentikan kerja-kerja membantu.
“Saya percaya ia dilakukan oleh satu kumpulan yang merancang bukan satu dua hari untuk mengenakan saya,” katanya.
Katanya beliau terkejut apabila mengetahui akan berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah ketika sedang melakukan kerja amal di negeri ini.
“Saya tahu beberapa hari lalu ketika melakukan kerja amal di Sabah 40 hari. Tiba-tiba saya dapat tahu, terkejut juga kerana bukan perancangan untuk ke mahkamah, tidak ada.
“Tetapi saya tak rasa apa sebab saya tahu saya tidak bersalah dan saya yakin ini perancangan ramai orang dari dulu lagi macam-macam gangguan terhadap kerja amal.
“Saya reda dan saya anggap ini ujian daripada Allah untuk saya. Saya rasa tenang melaluinya, kena pula ketika buat kerja amal,” katanya.
Terdahulu Ebit didakwa di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.
Ebit bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh penyerahan dokumen, manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada Jun depan.