PENAMPANG: Tiada mana-mana parti dapat membentuk kerajaan negeri atau mendominasi seluruh Sabah tanpa bekerjasama dengan parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata semua parti termasuk PBS perlu membentuk kerjasama dengan parti lain untuk sama-sama mentadbir negeri.
Katanya, PBS akur keperluan memiliki rakan perjuangan bagi menerajui kerajaan negeri memandangkan situasi politik masa kini tidak lagi sama seperti era kerajaan PBS, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) atau Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) dahulu.
“Sekarang kita perlu realistik bahawa kemungkinan besar, tidak ada lagi satu parti yang boleh mendominasi seluruh negeri seperti pada era USNO, Berjaya dan PBS dahulu.
“Kita kena akur bahawa kita perlu ada rakan seperjuangan untuk sama-sama menerajui kerajaan pada masa akan datang.
“Kita perlu kuatkan kerjasama kita bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kepemimpinan tertinggi PBS komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan GRS pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Wanita PBS Ke-38, di sini, hari ini.
Sementara itu, Dr Joachim berkata kepemimpinan parti memberi ruang kepada sayap Pemuda dan Wanita PBS untuk membincangkan cadangan kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Beliau berkata, cadangan yang pada mulanya disuarakan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan itu boleh dibahas bagi mendapatkan pandangan perwakilan mengenai bentuk dan mekanisme gabungan atau kerjasama yang boleh dilaksanakan.
“Yang amat jelas adalah, kita dalam PBS akan memberi jaminan yang tidak berbelah bahagi mengenai kerjasama bersama GRS yang mana PBS dan STAR adalah komponennya yang penting.
“Saya menyarankan agar kita boleh bekerjasama dengan lebih erat dengan STAR sebab mereka juga sebenarnya bermula daripada PBS dan perjuangan mereka juga tidak jauh daripada perjuangan kita,” katanya.