Hajiji serah 421 geran tanah anak negeri kepada penduduk di Tongod

TONGOD: Kerajaan Negeri hari ini menyerahkan sebanyak 421 geran tanah anak negeri kepada penduduk dari 15 kampung, di sini, membabitkan keluasan 790.37 hektar atau 1953.15 ekar.

Penyerahan geran tanah terbabit disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sempena lawatan kerja sehari ke daerah ini.

Hajiji diiringi Masiung Banah; Bernard Liew dan Nelson Domil Oluk menyerahkan geran tanah anak negeri kepada wakil penduduk kampung pada Majlis Penyerahan Geran Tanah dan Warta Kampung di Tongod. Gambar JKM.

Katanya, antara kampung yang terbabit ialah Kampung Simpang Entilibon sebanyak 127 geran tanah, Kampung Imbak (94 geran tanah), Kampung Kironggu (55 geran tanah), Kampung Kotodon (43 geran tanah) dan Kampung Alitang (37 geran tanah).

“Daripada jumlah geran tanah itu, sebanyak 343 geran adalah hasil daripada Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) dan bakinya 78 geran melalui proses permohonan tanah biasa,” katanya.

Hajiji turut menyerahkan Warta Tanah Rizab Kediaman Anak Negeri kepada empat kampung, iaitu Kampung Tampasuk seluas 77.587 hektar (191.214 ekar), Kampung Imbak seluas 7.25 hektar (17.915 ekar), Kampung Linayukan (15.831 hektar atau 39.119 ekar) dan Kampung Namukon (4.047 hektar atau 10 ekar).

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah; Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Bernard Liew; Pegawai Daerah Tongod, Nelson Domil Oluk dan pemimpin masyarakat setempat.

Terdahulu, Hajiji melakukan pecah tanah projek pembinaan Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod bernilai RM5.1 juta itu yang dimulakan pembinaannya pada Jun lalu dan dijangka siap pada Disember 2024.

Hajiji turut menyerahkan Tanah Rizab Tapak Bangunan Mahkamah Anak Negeri Daerah Tongod kepada Ketua Daerah Tongod, OKK Jusison Saidin.