SANDAKAN : Pengguna jalan raya di daerah ini kesal dengan keadaan jalan raya di Batu 16, Gum-Gum yang semakin hari semakin teruk.
Seorang pengguna, Calvin CK mengadu keadaan jalan raya di Pekan Gum-Gum beralun dan berlubang hingga boleh membahayakan pemandu.
Beliau telah berkongsi beberapa keping gambar dan rakaman video menerusi laman sosial Facebook miliknya.
“Sebelum ini saya pakai kereta jenis Perodua Myvi, tetapi tersangkut di bahagian bumper depan. Saya terpaksa tukar kenderaan ke pacuan empat roda untuk memudahkan perjalanan sebab saya berulang alik dari Sandakan ke Beluran untuk menghantar barang di sana.
“Selain keadaan jalan raya yang tidak baik, jalan raya dari Batu 16 hingga Batu 32 yang hanya ada satu lorong juga amat menyusahkan pengguna. Kadang-kala saya terpaksa menempuh kesesakan dua jam hanya untuk melalui kawasan ini,” katanya.
Calvin berharap agar pihak berkaitan serta wakil rakyat di kawasan itu dapat turun padang untuk melihat keadaan jalan raya itu dan seterusnya mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.
Katanya, sudah tiba masanya jalan dari Batu 16 ke Batu 32 ditambah lorong bagi kemudahan pengguna jalan raya.
“Keadaan bertambah teruk sekiranya berlaku kecemasan. Kadang-kala, pengguna terpaksa berhenti di tepi jalan untuk memberi laluan kepada kenderaan yang ada kecemasan seperti van ambulans atau pasukan keselamatan.
“Bukankah semua ini akan lebih mudah sekiranya ada tambahan lorong?. Sekurang-kurangnya keselamatan kenderaan lain juga terjamin dan masa perjalanan juga lebih singkat,” jelasnya.