TAWAU : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tidak niat mahu mencuri ahli ataupun merampas kerusi sedang dipegang rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masidi Manjun berkata, Gagasan Rakyat berusaha untuk memperkuatkan parti semata-mata untuk memastikan rakan GRS menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, setiap kerusi GRS itu penting, tidak kira sama ada ditandingi Gagasan Rakyat ataupun daripada mana-mana komponen parti GRS yang lain.
“Kita memberi makluman kepada semua rakan GRS supaya jangan khuatir sekiranya Gagasan Rakyat menjadi kuat dan semakin diterima rakyat.

“Sekiranya Gagasan Rakyat menjadi kuat, ia juga akan berjuang untuk GRS serta membantu kemenangan calon lain dalam kerajaan pada PRN akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Apas, di sini hari ini.

Mengulas mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Masidi merupakan Menteri Kewangan berkata, Gagasan Rakyat akan pertahankan semua kerusi sedia ada bagi menghadapi PRN17 akan datang.
“Kita pastikan semua kerusi yang dipegang oleh Gagasan Rakyat akan dipertahankan manakala pemilihan calon terbaik akan dilakukan.
“Gagasan Rakyat akan berpegang kepada prinsip asasnya apa yang kita pegang sekarang, kita pertahankan dan selebihnya itu akan dibincang bersama parti komponen dalam GRS melalui hati ke hati,” jelas Masidi.

Menurutnya, Gagasan Rakyat akan memilih atas andaian bahawa parti yang mempunyai calon terbaik sekali gus mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menang dan akan sokong untuk bertanding.
“Tidak kira daripada parti komponen mana calon itu datang, perkara paling penting adalah GRS mesti menang di setiap kerusi yang dipertandingkan,” kata Masidi.
