Tiada isu kekurangan minyak masak paket bersubsidi di Sandakan – KPDN

SANDAKAN : Tiada isu kekurangan minyak masak paket bersubsidi dikesan berlaku di daerah ini, kata Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan Azdy Zukkry John.

Menurut beliau, ini kerana Sandakan mempunyai 21 kilang membungkus semula minyak masak subsidi (repackers) dengan jumlah keseluruhan kuota sebulan sebanyak 3,232 metrik tan.

Jelasnya, ia bermakna jumlah kuota sebulan untuk daerah ini sahaja adalah sebanyak 3,232 kilogram minyak paket.

“Kilang pembungkusan semula perlu menghabiskan kuota diberikan setiap bulan untuk tuntutan. Kuota baharu pada bulan seterusnya akan bermula setiap 1 hari bulan dan pemilik kilang biasanya akan mengambil masa dua hingga tiga hari untuk mengambil minyak dari kilang penapis sebelum membungkusnya semula di kilang masing-masing.

“Selain itu, pengedaran minyak masak kepada pelanggan juga perlu mengambil sedikit masa selepas minyak masak siap dibungkus.

“Oleh itu, tidak timbul sebarang isu kekurangan minyak paket di Sandakan. KPDN ingin menasihatkan para pengguna agar tidak membuat pembelian panik ke atas minyak masak paket,” katanya kepada media selepas membuat pemantauan bekalan barangan di sebuah pasaraya di Sandakan, pagi tadi.

Menurut beliau, pengguna boleh menghubungi pejabat KPDN Sandakan di talian 089-668107 sekiranya sukar mendapatkan bekalan barangan perlu termasuk minyak masak paket.

Jelasnya, pihak KPDN Sandakan akan sentiasa turun padang untuk membuat pemantauan bagi memastikan bekalan terutama barangan perlu adalah mencukupi di pasaran.

Azdy berkata Untuk rekod, KPDN Sandakan telah melakukan pemeriksaan pada 258 premis kawasan bandar dan 293 premis kawasan luar bandar setakat ini.

Menurutnya daripada jumlah itu, pihaknya telah membuka 20 kes yang mana 12 kes telah dikenakan tindakan kompaun, dua kes melibatkan pendakwaan manakala enam kes lagi masih dalam siasatan.