Media sosial harus diguna sebarluas pengaruh parti secara positif kepada rakyat – Bung Moktar

KOTA KINABALU : Penggunaan media sosial perlu dioptimumkan sepenuhnya oleh ahli parti UMNO dalam usaha menyebarluaskan pengaruh parti itu secara lebih positif kepada rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, dengan adanya pengaruh media sosial, rakyat dan pengundi khususnya pengundi muda boleh didekati dengan cara yang lebih berhemah dan bijaksana selari dengan perkembangan dunia digital masa kini.

Menurut Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, pengaruh media sosial terutamanya di kalangan anak muda amat berkesan dan lebih cepat tersebar berbanding medium media yang lain.

“Kita aplikasikan media sosial untuk menyampaikan kebaikan parti kita (UMNO), janji-janji pembangunan yang boleh ditunaikan, parti yang memperjuangkan semua kaum, agama dan budaya.

“Pada masa sama, tunjukkan keikhlasan kita menerusi kepenggunaan media sosial yang berfakta, lebih meyakinkan, kreatif serta mempunyai tarikan kepada pembaca dan penonton ,” katanya ketika berucap pada majlis taklimat isu-isu politik semasa bersama empat kepimpinan parti dari seluruh Bahagian UMNO Sabah di sini, baru-baru ini.

Bung Moktar yang juga Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan, pendekatan penggunaan media sosial untuk berkempen perlu dipraktikkan dari sekarang dan semua ahli parti umno perlu menjadi tentera siber (cyber trooper) yang bertanggungjawab untuk mempertahankan parti dan pimimpin UMNO dari menjadi bahan tomahan, provokasi dan fitnah pihak lawan.

Beliau berkata, masyarakat sekarang semakin cakna terhadap isu semasa terutamanya masalah insfrastruktur asas seperti jalanraya, bekalan air dan elektrik yang semakin meruncing sehingga menjejaskan kehidupan mereka seharian.

Ini katanya, menyebabkan mereka pantas mekviralkan di media sosial namun yang menjadi mangsa dan sasaran adalah UMNO.

“Lantas tentera siber parti lawan akan membalas dan menyerang pemimpin UMNO walaupun hakikatnya sebahagian pemimpin yang ada dalam Kerajaan sekarang dahulu bersama Umno dan seharusnya kini berada di dalam Kerajaan berusaha mengatasi masalah yang diviralkan oleh rakyat.

“Kita perlu tampil mempertahankan imej parti dan pemimpin mendiamkan diri seperti kita mengiyakan apa yang mereka muat naik di dalam media sosial walaupun kita tahu ianya berbaur tohmahan dan fitnah untuk menjejaskan imej dan kekuatan parti Umno,” katanya.

Bung Moktar berkata, landskap politik tanah air amat berlainan dengan aliran maklumat yang bebas sama ada melalui media massa atau media baharu.

Justeru, katanya, pendekatan media sosial yang lebih aktif dan kreatif perlu dilaksanakan oleh pemimpin dan ahli UMNO.