Terserah kepada kebijaksanaan pengundi Johor untuk memilih yang terbaik – Ronald

PAGOH: Perikatan Nasional (PN) menyerahkan kepada kebijaksanaan pengundi Johor untuk menilai gagasan parti yang terbaik pada Pilihan Raya (PRN) negeri itu, kata Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Ahli Majlis Tertinggi PN itu berkata PN telah meletakkan 56 calon yang layak dengan tapisan latar belakang ekonomi dan pendidikan paling sesuai untuk mewakili kawasan yang mereka tandingi.

“PN yakin rakyat Johor akan membuat pilihan yang terbaik. Mereka tahu tentang parti terbaik, pilihan terbaik, untuk mengangkat kehendak Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Kita juga telah menetapkan manifesto yang komprehensif melibatkan semua sudut dan kepentingan semua lapisan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Dialog Industri Agromakanan Bersama Komuniti Agromakanan Johor di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Dr Sahruddin Jamal, yang merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong.

Ronald berkata demikian sebagai mengulas surat Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertajuk ‘Surat Tun Dr Mahathir Kepada Pengundi Johor’ hari ini.

Menerusi surat itu, Dr Mahathir dilihat memainkan isu yang mengkritik dua bekas perdana menteri sebelum ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN, dan Datuk Seri Najib Razak.

— BERNAMA