TAWAU: Cubaan menahan seorang lelaki berakhir dengan insiden tembakan di pusat komersial Bazhong, di sini, pagi tadi, menyebabkan seorang anggota polis dan suspek cedera.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, dua anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Jalan Persisiran Pantai menahan sebuah Perodua Viva putih dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an.
Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya sebelum dikejar dan berjaya ditahan di kawasan pusat komersial berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Champin Piuh berkata, ketika proses tangkapan, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan.
“Dalam pergelutan itu, sepucuk pistol milik anggota bertugas terlepas satu das tembakan dan mengenai tangan kiri suspek.
“Seorang lagi anggota yang membantu turut cedera di paha kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kedua-dua yang cedera dihantar ke Hospital Darrah Tawau untuk rawatan lanjut.
Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek menemui serbuk disyaki dadah jenis syabu, selain lelaki itu turut memiliki dokumen pengenalan diri milik individu lain.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
