Dewan roboh hempap dua rumah di Kampung Air Semporna

SEMPORNA: Sebuah dewan tidak kekal berkeluasan kira-kira 60 x 100 kaki persegi roboh sebelum menghempap dua rumah kediaman dalam kejadian di Kampung Air, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 8.49 malam itu, enam penghuni membabitkan empat dewasa dan dua kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.

Ketua Balai BBP Atas Air Semporna, PBT II Suheizan bin Sahak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.49 malam sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah bot aluminium digerakkan ke lokasi sejauh tujuh kilometer.

“Setibanya di lokasi pada jam 8.55 malam, didapati sebuah dewan jenis tidak kekal yang dibina di atas air telah roboh dan menghempap dua rumah berhampiran.

“Rumah pertama berkeluasan 20 x 30 kaki persegi manakala rumah kedua 30 x 40 kaki persegi. Semua penghuni sempat keluar dengan selamat dan dipindahkan ke rumah keluarga terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Katanya lagi, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan runtuhan bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat selain mengalihkan serpihan dengan berhati-hati berikutan struktur berada di atas air.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.03 malam selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal,” katanya.