Tanah runtuh rosakkan tiga rumah di Kampung Numbak

KOTA KINABALU: Kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kampung Numbak, di sini, lewat malam Jumaat, mengakibatkan kerosakan struktur terhadap tiga buah rumah, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.40 malam sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.

Hasil pemeriksaan mendapati sebuah rumah mengalami kerosakan sepenuhnya, manakala dua lagi rumah masing-masing mengalami kerosakan dianggarkan 90 peratus dan 70 peratus akibat pergerakan tanah.

JBPM memaklumkan, semua penduduk terlibat berada dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

Operasi pemantauan keselamatan oleh pasukan bomba tamat pada jam 1.45 pagi selepas keadaan disahkan selamat.