KOTA KINABALU : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan melancarkan talian hotline kepada pelancong yang berdepan masalah semasa berada di negeri ini terutama menjadi mangsa penipuan sewa inap desa.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata, talian berkenaan akan dikendalikan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan menerusi perkhidmatan terbabit agensi itu boleh mengambil tindakan segera apabila menerima panggilan daripada pelancong termasuk menghantar pasukan untuk menyiasat perkara itu.
“Aktiviti seumpama itu (penipuan sewa inap desa) memberi kesan kepada kita, kes sebegini akan dirujuk kepada STB. Sebelum ini kita kena tunggu pihak polis, namun sekarang kita akan wujudkan talian hotline.
“Akan ada pegawai mengendalikan talian bagi menguruskan krisis atau sebarang kejadian tidak dingini.
“Sebarang masalah yang anda hadapi selaku pelancong di Sabah, anda boleh menghubungi talian hotline ini,” katanya di sini semalam.
Christina berkata demikian sebagai mengulas berkaitan penipu sewa inap desa yang secara terbuka mengiklankan perkhidmatan menerusi media sosial seperti Facebook dan pihak Polis Diraja Malaysia di negeri ini turut mengingatkan orang ramai tentang penipuan terbabit.