KOTA KINABALU : Majlis Tenaga Sabah (MTS) meluluskan pelbagai inisiatif meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui sekali gus membantu mencapai mengatasi masalah kekurangan kuasa elektrik di negeri ini.
Mesyuarat pertama dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersetuju untuk menjalankan kajian sumber tenaga boleh baharu untuk Sabah seperti angin, geoterma dan projek janakuasa low head hydro summersible untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu.
Antara cadangan lain daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) termasuk pelanjutan operasi loji janakuasa sedia ada berdaya harap, pembelian tenaga daripada loji janakuasa biomass.
Ini memastikan penyiapan projek Solar Berskala Besar (LSS), memperolehi kapasiti dari Sarawak, melaksanakan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), tambahan loji janakuasa gas asli sebagai bahan api peralihan dan pengaktifan semula loji janakuasa Geoterma.
Penyiapan Pelan Pembangunan Hidroelektrik Sabah yang menjelang akhir tahun ini dijangka akan dapat menyokong inisiatif-inisiatif penjanaan kuasa di negeri ini.
Untuk jangka masa panjang, Kerajaan Negeri akan menerokai teknologi baharu seperti Reaktor Modular Kecil (SMRs) dengan kerjasama kerajaan persekutuan dan Penukaran Tenaga Haba Lautan (OTEC) berikutan kelulusan Enakmen OTEC 2024 oleh Dewan Undangan Negeri Sabah.
Hajiji dalam ucapannya menekankan Kerajaan Negeri komited untuk masa depan tenaga yang mampan di Sabah melalui Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada 19 Sept tahun lalu.
“SE-RAMP 2040 menggariskan pelbagai strategi dan inisiatif untuk mengimbangi keperluan tenaga dan memastikan keselamatan tenaga, mampu milik, dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, mesyuarat MTS tertumpu kepada menangani cabaran tenaga semasa di Sabah, termasuk kekurangan kapasiti dan kestabilan grid serta perancangan untuk memenuhi keperluan permintaan elektrik jangka masa sederhana dan panjang.
Beliau turut menyeru tindakan kolektif daripada semua pihak berkepentingan dalam memastikan kesemua pelan dan inisiatif berjaya dilaksanakan.
Terdahulu, Hajiji berkata peranan MTS yang diluluskan Jemaah Menteri pada 6 Mac tahun ini adalah untuk memastikan keberkesanan strategi dan inisiatif SE-RAMP 2040.
MTS dipengerusikan Hajiji mempunyai 11 ahli tetap iaitu Menteri Kerjaraya, Menteri Pembangunan Industri dan Usahawan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Kewangan, SUT Kementerian Kerjaraya, SUT Kementerian Pembangunan Industri dan Usahawan, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya, Pengerusi ECoS dan Ketua Pegawai Eksekutif ECoS.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, SMJ Energy Sdn Bhd dan Sabah Electricity Sdn Bhd masing-masing adalah ahli jemputan.
MTS ditubuhkan berikutan penyerahan kuasa kawal selia tenaga daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan untuk menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah