Kejadian menembak ikan di Semporna perlu diberhentikan

SEMPORNA : Kejadian seorang penyelam skuba dirakam menggunakan senapang panah menembak ikan dikenalpasti sangat menyalahi undang-undang perairan di negeri ini.

Presiden, Sabah Dive Squad Club, Sim Fui berkata, kesalahan itu jelas merupakan antara kesalahan dijelaskan termaktub dalam akta Jabatan Perikanan Sabah.

Katanya, tindakan penyelam individu ini tidak mencerminkan etika serta amalan menyelam yang bertanggungjawab selain tidak menekankan pemuliharaan serta penghormatan terhadap kehidupan marin.

“Penggunaan senapang panah menembak semasa menyelam skuba sangat membawa risiko keselamatan yang ketara.

“Tindakan penyelam itu bertentangan dengan nilai serta prinsip utama yang dipegang oleh Sabah Dive Squad Club,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sim berkata, tindakan sedemikian boleh secara tidak sengaja mencederakan penyelam lain di kawasan berdekatan sekali gus mewujudkan persekitaran bawah air yang sangat merbahaya.

“Keselamatan semua penyelam adalah keutamaan manakala tingkah laku yang cuai seperti ini tidak boleh diterima.

“Sabah Dive Squad Club, mempunyai kira-kira 100 ahli, komited untuk mempromosikan amalan menyelam yang lestari serta mendidik ahli-ahli dan orang ramai tentang pentingnya memelihara persekitaran marin semula jadi di negeri ini,” jelas Sim.

Menurutnya, beliau menggesa agar semua penyelam mematuhi undang-undang dan peraturan yang mengawal perairan di Sabah serta  bertindak sebagai penjaga persekitaran marin negeri ini.

“Biarlah insiden ini menjadi peringatan tentang tanggungjawab kolektif kita untuk melindungi serta menghargai dunia bawah air untuk generasi akan datang,” tambah Sim.