KUALA LUMPUR: Polis tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada pihak berkuasa berkaitan supaya pusat rekreasi ditutup jika terlalu sesak dengan kehadiran orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff, berkata ketika ini, pihaknya akan membuat pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa terutama di Lembah Klang yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Jumaat lalu.
“Polis menyedari keghairahan orang ramai beriadah di sungai, padang dan pantai terutama membabitkan warga Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.
“Justeru, polis membuat pemantauan dan hebahan dengan memberi nasihat supaya mereka mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal.
“Bagaimanapun, jika keadaan tidak dapat dikawal akibat kesesakan dan pengunjung terlalu ramai, polis tidak teragak-agak untuk mencadangkan supaya pusat rekreasi ditutup,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, BH melaporkan kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 PPN, membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.
Tinjauan di Taman Tasik Titiwangsa mendapati golongan kanak-kanak sehingga warga emas mula melakukan pelbagai aktiviti riadah termasuk joging, berbasikal, bermain kasut roda dan ada juga yang bermain badminton bersama anak-anak.
Selain itu, peniaga makanan juga mula berniaga pelbagai jenis makanan kepada orang ramai di tepi jalan, bagi memenuhi permintaan.
Ditanya tindakan kompaun kepada pengunjung, Mastor berkata, ia pilihan terakhir jika mereka menghiraukan nasihat polis supaya mematuhi SOP.
“Kita mengambil pendekatan berhemah dahulu dengan memberi nasihat.
“Kalau mereka masih berdegil, pilihan terakhir ialah dengan memberi kompaun,” katanya.