TABS Sabah FC terus catat kemenangan

KOTA KINABALU : TABS Sabah FC terus mengekalkan momentum kemenangan dalam saingan Liga Suparimau 2024 apabila dua pasukan, B16 dan B14 masing-masing memenangi perlawanan mereka di sini hari ini.

TABS Sabah FC mengatasi KK Central FC 2-0 dalam perlawanan kategori B16 di padang A Kompleks Sukan Likas manakala menewaskan pasukan NBP FC 2-1 dalam perlawanan dalam kategori B14 padang sintetik di sini.

TABS Sabah FC mendahului KK Central FC 1-0 pada separuh masa pertama sebelum menambah satu gol lagi di babak separuh masa kedua.

Dengan kemenangan itu membolehkan pasukan tersebut menghuni tangga teratas kedudukan B16 dengan mengutip tujuh mata melalui dua kemenangan dan seri sekali. Ia disusuli pasukan Pengalat FC yang mengumpul lima mata di tempat kedua.

Manakala, Jubilo Academy menyusuli di tempat ketiga setakat ini dengan mengutip empat mata.

Dalam satu lagi perlawanan kategori B14 hari ini, TABS Sabah FC menewaskan pesaing NBP FC 2-1.

Meskipun ketinggalan 1-0 di babak separuh masa pertama namun TABS Sabah FC bangkit semula pada separuh masa kedua untuk menghasilkan dua gol bagi memastikan mata penuh.

Sementara itu dalam perlawanan pada Sabtu, TABS Mix 9 menumpaskan Miruru FC 6-1 bagi kategori B10 manakala TABS Junior mencatat kemenangan 3-2 ke atas KIS Vipers selain TABS Mix seri 1-1 dengan Miruru FC dalam kategori B8.

Ketiadaan tonggak pemain menyebabkan pasukan TABS B12 mengalami kekalahan 0-4 kepada AFJ Junior yang menyukarkan jurulatih pasukan, Ahmad Ibrahim melakukan percaturan dalam perlawanan tersebut.