TABS jalin kerjasama pembangunan bola sepak dengan Kompleks Sukan KK

KOTA KINABALU : TABS SAFA bandaraya akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) khususnya bagi memastikan program pembangunan bola sepak yang dikendalikannya mencapai matlamat dan selari dengan usaha memajukan sukan bola sepak di Sabah.

Naib Pengerusinya, S.A Ramlye, berkata pihaknya berterima kasih kerana KSKK sentiasa memberi kerjasama dan memberi dorongan dan sokongan terhadap program tersebut.

“Kerjasama erat yang terjalin dengan KSKK petanda baik untuk kami terus mengendalikan program khususnya untuk memberi bimbingan kepada pelatih-pelatih menerusi program yang dijalankan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan Pengurus Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Alfred Billy di pejabatnya di Stadium Likas, baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha TABS SAFA Bandaraya Amsir Abdullah.

Sambil mengalu-alukan komitmen berterusan pengurusan KSKK, Ramlye berkata, semua ini dapat membantu TABS SAFA Bandaraya memfokuskan usaha pengendalian terhadap program pembangunan bola sepak itu lebih efektif dan dapat direalisasikan untuk jangka masa panjang.

Katanya, TABS SAFA Bandaraya juga telah mendapat persetujuan KSKK untuk menyewa semula ruang pejabat yang pernah menjadi pejabatnya di Stadium Likas sebelum ini.

“Pengurus KSKK telah pun menyatakan persetujuan untuk TABS meneruskan penyewaan ruang pejabat tersebut,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu bahawa sesi latihan program pembangunan bola sepak TABS akan berehat sepanjang bulan Ramadan ini dan ia akan disambung semula selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, sebarang pertanyaan mengenai program tersebut, boleh menghubungi Urusetia TABS iaitu Suzana Bibiyantie di talian 016-3133119 dan Nur Atiqah 016-8344480.