Contohi KTC Berhad bantu golongan memerlukan – Masiung

KINABATANGAN : Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) Sabah Datuk Masiung Banah menggesa agar syarikat-syarikat besar yang lain mencontohi apa yang dilakukan oleh Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTCB) dalam usaha membantu golongan yang memerlukan dalam kapasiti CSR mereka.

Katanya usaha yang dilakukan oleh syarikat korporat milik Datuk Dexter Lau ini dapat di lihat sebagai salah satu dari komitmen ke arah mendekatkan lagi hubungan mereka dengan masyarakat umum.

Masiung Banah

“Kita sedar kita dikelilingi oleh syarikat-syarikat besar dengan berbagai industri khususnya ladang kelapa sawit,” katanya ketika merasmikan Majlis Berbuka Puasa anjuran bersama KTCB dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di perkarangan Masjid Daerah Kinabatangan, semalam.

Jelajah Iftar Ramadan Al-Mubarak KTCB-UPPM Negeri Sabah masuk hari ke-6 hari ini setelah ianya memulakan jelajah di Parlimen Kalabakan, Tawau dan Semporna.

Masiung bersama Awang Kadin (kiri) dan Dexter dalam majlis berbuka puasa malam tadi.

Jelajah itu di sambung ke Parlimen Lahad Datu dan hari ini berkampung di Parlimen Kinabatangan pula.

Sepanjang enam hari jelajah di Loma kawasan Parlimen, Kim Teck Cheong Consolidated Berhad juga turut menyelitkan Program Shopping Raya Bersama Anak Yatim dan Golongan Asnaf di Servay Tawau, Kunak dan Lahad Datu di mana setiap program melibatkan seramai 50 orang anak-anak yatim dan golongan Asnaf.

Masiung bersama Awang Kadin dalam majlis berbuka puasa malam tadi.

Program ini juga akan berlangsung di Sandakan, Penampang, Putatan dan sehinggalah ke Beaufort yang dikendalikan secara bersama dengan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah yang diketuai oleh Ketuanya Datuk Redonah Bahanda.