SuriaGroup catat prestasi kukuh tahun 2024 catat hasil RM271 juta

KOTA KINABALU: Suria Capital Holdings Berhad dan Kumpulan Syarikatnya (SuriaGroup) mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM271 juta bagi tahun 2024.

Siaran media SuriaGroup sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-42, hari ini, menyatakan ia menunjukkan penurunan sederhana 2.6 peratus berbanding (2023: RM278.4 juta).

Bagaimanapun, untung kasar meningkat 3.3 peratus kepada RM80.4 juta berbanding (2023: RM77.8 juta).

Untung sebelum cukai meningkat 3.6 peratus kepada RM50.5 juta berbanding (2023: RM48.7 juta).

Manakala, untung selepas cukai mencatatkan sedikit penurunan 1.3 peratus, iaitu RM33.9 juta berbanding (2023: RM34.3 juta).

Menurut SuriaGroup, prestasi kewangan Kumpulan ini terutamanya dipengaruhi oleh peralihan operasi Pelabuhan Kontena Sapangar Bay kepada DPW Sabah Sdn Bhd, sebuah usaha sama antara Sabah Ports Sdn Bhd dan DP World pada September 2024.

Peralihan ini mengakibatkan penyahiktirafan sekali aset konsesi dan penerimaan kewangan yang mewakili nilai semasa bayaran sewa oleh DPW Sabah Sdn Bhd.

Walaupun terdapat pelarasan ini, Kumpulan mengisytiharkan dividen keseluruhan sebanyak 3.0 sen per saham biasa(1.5 sen dividen interim dan 1.5 sen dividen akhir), bersamaan dengan pembayaran sebanyak RM10.4 juta atau 30.7 peratus daripada untung selepas cukai.

Ini selari dengan komitmen kumpulan untuk memberikan pulangan kepada pemegang saham.