SEMPORNA : Corak anyaman tikar Pandan beridentitikan ‘Halunan Moto serta Sambulayang’ milik usahawan kraf tempatan Semporna Sabah kini menembusi pasaran antarabangsa.
Usahawannya, Roziah Jalalid berasal dari Kampung Pulau Omadal, Semporna berkata, sehingga kini produknya mendapat permintaan tinggi di beberapa negara termasuk pasaran China, Hongkong serta Tokyo, Japan.

Katanya, beliau kini mampu merai pendapatan sehingga RM10,000 sebulan namun bergantung kepada permintaan produk hasil kraftangannya.
“Kita menjangkakan pendapatan hasil kraf anyaman tikar ini akan terus meningkat berikutan berlangsungnya Sambutan Regatta Lepa Edisi ke-30 dijangka bermula minggu ini.
“Antara corak pilihan utama iaitu Sambulayang, memandangkan mereka begitu tertarik kepada warna-warni yang mempunyai ciri-ciri tradisi masyarakat tempatan Bajau Semporna,” katanya.

Roziah berkata, beliau aktif menganyam tikar pandan sejak 10 tahun lalu sekali gus mewarisi aktiviti ini daripada keluarganya berusaha untuk menghidupkan semula aktiviti menganyam bagi memastikan khazanah tradisi ini tidak dilupakan.
“Minat terlalu mendalam berupaya mengatasi kesukaran menghasilkan anyaman tikar sehingga menghasilkan 20 motif atau corak yang sememangnya unik sekali gus dijadikan sumber rezeki utama.
“Walaupun memerlukan kepekaan, ketekunan dan kepakaran, saya yakin, bakat boleh dikembangkan jika ada usaha untuk mempelajarinya,” kata Roziah.

Ketika ini beliau begitu tekun melatih teknik anyaman corak di Kampung Pulau Omadal, Semporna yang turut disertai tujuh orang peserta menerusi teknik anyaman.
“Ketika ini anyaman bukan hanya terhad kepada tikar, namun beg tangan pelbagai peringkat berjaya dihasilkan untuk kegunaan pelbagai majlis.
“Kita pernah menerima tempahan sehingga 2,000 beg untuk majlis rasmi kerajaan negeri dan persekutuan awal tahun ini,” jelas Roziah.
Kata beliau, inisiatif ini sebahagian menarik wanita memperkasakan diri menerusi seni khazanah lama khususnya melibat budaya dan tradisi masyarakat Bajau Semporna.

“Kraf ini ada pasaran tersendiri dalam kalangan peminat seni. Misalnya, tikar pandan yang menarik dengan corak unik seperti hasil hidupan laut serta pelbagai lagi,” katanya.
Beliau berkata, pembabitan serius dalam penghasilan produk anyaman tikar pandan ini mampu menawarkan pendapatan lumayan manakala produknya sering mendapat permintaan daripada pelbagai pihak, termasuk Kraftangan Malaysia.

“Saya melihat banyak potensi anyaman pandan ini kerana fungsinya kekal relevan dalam kehidupan seharian kita,” katanya.
Selain berkebolehan menganyam, Roziah mahir menjahit dan melakukan kerja kekemasan membabitkan jahitan pada hasil anyaman tikar yang diusahakannya.
Paling cepat, beliau menyiapkan sebidang tikar dalam tempoh dua hari, bergantung saiz dan corak dipesan pelanggan dan berusaha memasarkan sendiri hasil anyaman berkenaan.

“Ketika ini kegiatan menganyam tikar pandan ini bukan lagi diusahakan oleh orang lama (tua), namun kini mampu menarik minat golong muda.
“Saya akan meneruskan usaha ini kerana yakin kegemilangan seni anyaman pandan perlu dikekalkan untuk generasi akan datang,” tambahnya.
Seni ini katanya, menyumbang kepada pendapatan lumayan kerana keunikannya sekali gus menjanjikan pasaran yang luas sehingga ke luar negara.

“Secara peribadi saya mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).
“Mereka banyak menyalurkan bantuan termasuk peralatan, kewangan, latihan, bimbangan serta usaha untuk mempromosikan hasil anyaman ini secara dalam talian,” katanya.
