Surat Rayuan Terbuka kepada ketua Menteri Sabah Beri Peluang Kepada Calon Guru Cos 2021 berkhidmat di Sabah

KOTA KINABALU: Guru Tunjang Sekolah Sejahtera, tema Hari Guru 2022 membawa makna besar difahami bahawa kecukupan guru merupakan tunjang membawa kesejahteraan kepada sekolah di negeri ini.

Sejak kebelakangan ini, masalah kekurangan guru di negeri Sabah khususnya masih meruncing dan kesejahteraan yang ingin diraih dalam bidang pendidikan di Sabah masih belum dinikmati.

Sekali lagi kami calon Guru Contract of Sercive (COS) Sabah tahun 2021 yang digagalkan membuat kenyataan media berkenaan rayuan kami.

Pertama, kami melalui video bertarikh 1 Julai 2022 menyuarakan ketidakpuasan hati kami terhadap pengambilan Guru di Sabah sangat sedikit berbanding calon-calon dari Semenanjung.

Data terbaru menunjukkan 300 orang anak Sabah digagalkan manakala 155 orang diluluskan dan telah diberi penempatan pada 24 Julai lalu.

Di mana logiknya hanya seramai 155 orang Guru COS 2021 dari Sabah berbanding seramai 2611 orang yang lulus?.

Apakah amalan 90:10 bagi pengambilan guru di Borneo masih dijalankan sedangkan jika dikira nisbah ini ianya menjadi terbalik iaitu 10 Borneo, 90 Semenanjung?.

Kami cukup faham perlunya ada proses integrasi, tetapi seperti yang diperkatakan YB Datuk Seri Mohd Shafie Afdhal dalam Parlimen pada 4 Ogos 2022, dalam keadaan ekonomi kurang baik pada masa kini, ianya memerlukan kos yang banyak.

Ini termasuklah seperti kos perumahan, pengangkutan, dan sebagainya untuk menempatkan guru dari Semenanjung ini.

Jika difikirkan semula, sudah ada anak tempatan Sabah berkelayakan dan melepasi Ujian Kelayakan Calon Guru (UCKG) dan temuduga bersama KPM sendiri, mengapa calon ini tidak diambil untuk mengisi kekosongan yang ada pada masa kini?.

Kami meneliti jawapan KPM di parlimen pada 4 Ogos 2022 lalu menyatakan calon Guru COS Sabah 2021 tidak memenuhi opsyen subjek diperlukan.

Sedangkan kami seramai 300 orang digagalkan terdiri daripada pelbagai opsyen subjek antaranya Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Pendidikan Khas dan TVET.

Dengan kemudahan teknologi masa kini, kami dapat mengumpul kesemua data lengkap ini beserta nama dan opsyen pemohon. Apakah kerana mahu memasukkan ramai Guru Semenanjung ke Sabah kami digagalkan?.

Kami bukanlah Guru yang mempunyai ikhtisas tetapi kami terdiri daripada bakal guru yang dapat berkhidmat baik kerana ramai di antara kami mempunyai pengalaman mengajar baik.

Ada kalangan mereka pernah menjadi guru ganti, guru Mystep mahupun guru swasta.

Sepertimana diberitahu KPM, tujuan pengambilan guru ini bagi membantu keluarga ketika tempoh sukar pasca covid, kami juga berhadapan masalah tersebut dan sekiranya kami diambil berkhidmat kami juga dapat membantu ekonomi keluarga kami yang sukar selepas tempoh PKP lalu.

Dalam masa sama, kami menghubungi beberapa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah di Sabah untuk mengetahui kekosongan guru dan jawapannya seperti dijangka.

Guru masih tidak cukup di banyak daerah dan banyak sekolah. Adakah hal ini akan dibiarkan begitu sahaja?.

Kenapa tidak ambil kami untuk mengisi kekosongan ini dan mengurangkan beban cikgu di sekolah yang kian mencabar?.

Pada 10 Ogos 2022 menerusi sidang Dewan Negara, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mohamad Alamin ada menyatakan kekosongan guru di Sabah adalah seramai 1567 orang iaitu 700 di bandar dan 867 di luar bandar.

Kekosongan yang beribu ini perlu diatasi dengan segera bagi menyeimbangkan mental dan fizikal guru yang sedia ada, sudah pasti kekurangan guru ini memberi kesan kepada mereka dan kami bersedia 100 peratus untuk ditempatkan bagi membantu menyeimbangkan kekurangan guru sedia ada.

Jika masalah opsyen menjadi kekangan, kenapa rakan-rakan kami contohnya guru opsyen Pendidikan Seni Visual yang masuk ke sekolah kena mengajar opsyen lain iaitu Matematik?.

Ada juga opsyen Pendidikan Islam perlu mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris? Mereka tertanya-tanya adakah tidak ada Guru COS Sabah 2021 yang layak mengajar opsyen-opsyen ini.

Terima Kasih kepada semua prihatin bertanya di parlimen dan mengambil tahu masalah kami kepada Ahli Parlimen Semporna  Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman, Zakaria Damit, Faradibah Sabardin serta semua yang terlibat.

Kami mencuba dengan sedaya upaya kami untuk membuat rayuan di semua sudut dan saluran kerana cinta kami kepada bidang perguruan.

Sejak keputusan dikeluarkan pada Mei 2022 sehingga Ogos 2022 bergerak serta memulakan misi atas bantuan pelbagai pihak kerana ingin memartabatkan anak bangsa Sabah dan cinta kepada pendidikan negeri Sabah ini.

Dengan ini kami merayu sebesar-besarnya kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor untuk memberi peluang kepada kami seramai 300 orang calon Guru Contract of Service (COS) 2021.

Semua mereka adalah anak jati Sabah digagalkan untuk memberi khidmat bakti di sekolah seluruh negeri Sabah.

Sekurang-kurangnya dengan kehadiran kami, ianya dapat mengurangkan beban guru-guru di sekolah khususnya negeri Sabah yang kami sayangi ini sekali gus menyumbang bakti di negeri sendiri.