KOTA KINABALU: Cuaca panas yang melanda negeri Sabah sejak akhir-akhir ini dijangka akan mengakibatkan penggunaan tenaga elektrik semakin meningkat.
Pengurus Besar (Sistem Operasi) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Adrian Leo Mosigil berkata, keadaan ini boleh memberi tekanan terhadap kestabilan Sistem Grid Elektrik.
Katanya, pada ketika ini, permintaan tenaga tertinggi yang pernah direkodkan pada waktu puncak adalah 1090.73 MegaWatt (MW) sementara itu, pada keadaan biasa kapasiti penjanaan keseluruhan pula adalah sekitar 1,300MW.
“Antara punca utama penurunan kapasiti penjanaan ini adalah berikutan salah sebuah Stesen Janakuasa Bebas (IPP) di Kimanis, Papar yang terpaksa menutup sementara sebahagian operasinya bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan pada set tarbin gasnya dapat dilaksanakan dengan lebih selamat,” katanya menerusi satu kenyataan,” hari ini.
Beliau berkata, selain itu, margin simpanan tenaga yang amat kecil iaitu pada kadar 12 peratus daripada kapasiti penjanaan tenaga keseluruhan negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan juga menjadikan SESB lebih berhati-hati dalam menguruskan bekalan elektrik kepada pengguna.