Status penggantungan keahlian UMNO Shahelmey diselesai secara dalaman – Ahmad Zahid

KOTA KINABALU: Status keahlian Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dalam UMNO akan diselesaikan secara dalaman, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata walaupun keputusan penggantungan diambil terhadap Shahelmey sebelum ini, namun Timbalan Ketua Menteri Sabah itu masih kekal sebagai wakil rakyat Kerajaan Perpaduan.

“Untuk beliau (Shahelmey), diperingkat nasional dia masih Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan, manakala diperingkat negeri beliau juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Biarpun keahliannya itu (UMNO) secara automatik gugur, tapi kita mempunyai semangat dalam Kerajaan Perpaduan, maka tindakan kita lakukan secara dalaman,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penutupan Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat yang dilaporkan belum menerima surat penggantungan keahlian daripada UMNO.

Pada 18 Mac lalu, Pengerusi Badan Pimpinan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan bahawa Shahelmey digantung daripada UMNO selama enam tahun berikutan tindakannya membelakangkan keputusan parti ketika kemelut politik Sabah tercetus pada Januari lalu.