STAR akan keluar PN – Jeffrey

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN), dijangka membuat pengumuman rasmi akan dalam tempoh terdekat.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, dalam kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) keputusan itu dibuat kerana STAR menyokong kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim dan ia tidak lagi sehaluan dengan PN.

“Ya (keluar PN), kita tunggu pengumuman, sebab kalau kau pergi sini, saya pergi sana, bererti tidak sehaluanlah,” katanya.

Pada 26 Nov lalu, Kitingan dilaporkan berkata, STAR mengambil pendirian sama seperti GRS menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar yang disokong Pakatan Harapan, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak.

PN yang diketuai Bersatu dan PAS akan membentuk blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Kitingan berkata, PN kini di laluan berbeza dengan STAR dan hanya masa akan menentukan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.

Katanya, beliau mahu menunggu situasi politik semasa reda sebelum mengambil langkah lanjut.

GRS yang mentadbir Sabah dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Kerajaan negeri itu bekerjasama dengan BN dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk mentadbir Sabah.