KOTA KINABALU : Dua ahli perniagaan lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 50-an, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu melibatkan nilai lebih RM3.6 juta di bawah Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek ditahan sekitar jam 11 pagi tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah bagi memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati suspek telah mengemukakan dua tuntutan mengandungi butiran matan palsu kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) pada tahun 2022 dan 2023.
“Salah satu tuntutan melibatkan pembekalan mesin retort dan peralatan usahawan bernilai lebih RM400,000, manakala satu lagi tuntutan membabitkan perkhidmatan pensijilan MeSTI, My Food serta sijil Halal bernilai lebih RM3.2 juta,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua suspek telah dibebaskan selepas membayar deposit jaminan sebanyak RM1,000 daripada jumlah keseluruhan jaminan RM10,000 yang dikenakan.
Kes akan dibawa untuk pendakwaan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada hari Khamis ini.
