TAWAU : Sebuah bot kargo tempatan yang membawa muatan beras dan petrol tanpa permit sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau dalam satu operasi kira-kira 2.15 batu nautika selatan Batu 3 Tawau, pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot tersebut dikesan semasa Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris ketika sedang menuju dari Batu 3 ke Pulau Sebatik.
Katany, pemeriksaan mendapati bot dikendalikan seorang juragan lelaki tempatan berusia 60 tahun bersama seorang pembantu warga Indonesia berumur 58 tahun yang memegang pasport sah.
“Kedua duanya mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit berkaitan muatan yang dibawa.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 400 kampit beras seberat 4 tan dan 27 gelen minyak petrol dianggarkan 700 liter yang disorokkan di bawah timbunan botol kosong dalam bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ariffin berkata, kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522). Bot kargo, enjin serta kesemua muatan disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM55,000.
Menurut Ariffin, siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur penyeludupan ke negara jiran memandangkan operasi bot dilakukan awal pagi untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
