Kadar pengangguran Sabah terendah sejak pandemik, turun ke 6.2 peratus – Phoong

KOTA KINABALU: Kadar pengangguran Sabah bagi Suku Kedua 2025 menurun kepada 6.2 peratus hampir menyamai paras 6.1 peratus direkodkan pada Suku Kedua 2019.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Phoong Jin Zhe berkata ini menurut Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Kedua 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Beliau berkata, pencapaian ini adalah kadar terendah sejak pandemik Covid-19, sekali gus mencerminkan perkembangan positif dalam ekonomi negeri.

“Kadar ini menurun daripada 6.7 peratus pada Suku Pertama 2025. Dari segi bilangan, jumlah penganggur berkurang daripada 144,500 orang pada Suku Pertama 2024 kepada 120,300 orang pada Suku Kedua 2025.

“Penurunan lebih 20,000 orang dalam tempoh setahun setengah.

Malah, angka ini juga lebih rendah berbanding tempoh sama pada 2019 iaitu 122,200 orang sebelum pandemik,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Phoong berkata, walaupun perkembangan ini positif usaha berterusan diperlukan bagi menurunkan kadar pengangguran yang kekal tinggi sejak sedekad lalu supaya setara dengan purata kebangsaan.

Katanya, kadar pengangguran Sabah pernah mencecah 9.1 peratus ketika pandemik sebelum menurun kepada sekitar 7 peratus pada 2023–2024, dan kini berjaya dikurangkan lagi ke paras 6 peratus.

“Ini membuktikan peluang pekerjaan semakin bertambah, khususnya hasil perkembangan pesat sektor perindustrian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pelaburan besar oleh kilang tempatan dan pelabur asing yang kini beroperasi di Sabah memberi kesan langsung kepada penciptaan peluang pekerjaan untuk anak muda negeri ini,” katanya.

Menurutnya, jumlah penduduk bekerja turut meningkat ketara, daripada 1.674 juta pada Suku Pertama 2024 kepada 1.813 juta pada Suku Kedua 2025, iaitu pertambahan hampir 150,000 orang dalam tempoh setahun setengah.

“Sabah merekodkan pertambahan penduduk bekerja kedua tertinggi di Malaysia dalam tempoh tersebut, selepas Selangor.

“Kita mengakui Sabah masih mencatat kadar pengangguran tertinggi di negara ini dan memerlukan masa untuk diatasi” jelasnya.

Beliau optimis, dengan usaha berterusan menarik pelaburan, membantu perusahaan tempatan berkembang, serta memacu pembangunan industri hiliran, Sabah mampu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menurunkan jumlah penganggur kepada bawah 100,000 orang dalam beberapa tahun akan datang.

Sebagai Pengerusi DAP Sabah, beliau menegaskan komitmennya untuk terus menumpukan agenda pembangunan industri demi merealisasikan lonjakan ekonomi negeri.

“Saya tidak akan berpuas hati atau berhenti di sini. Saya akan terus berusaha, langkah demi langkah, sehingga rakyat dapat melihat bahawa perubahan sedang berlaku,” katanya.