KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal memutuskan status kerusi DUN Lamaq selepas kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya negeri 29 November lalu.
Bekas Adun, Datuk James Ligunjang, berkata Speaker DUN Sabah tidak mempunyai kuasa mengisytiharkan kekosongan kerusi kerana Bung belum mengangkat sumpah sebagai ADUN.
“Dalam situasi ini, ia terletak sepenuhnya kepada SPR untuk menentukan sama ada perlu diadakan pilihan raya kecil atau sebaliknya,” katanya.
Mengenai kedudukan Bung sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, Ligunjang berkata kerajaan Persekutuan kini menghampiri dua tahun terakhir penggal sebelum PRU mesti diadakan selewat-lewatnya pada 20 November 2027.
Menurut peruntukan undang-undang, jika tempoh berbaki kurang dua tahun, pilihan raya kecil Parlimen tidak diwajibkan. Namun keputusan akhir mengenai kerusi Kinabatangan terletak pada Speaker Dewan Rakyat.
Pada PRN Sabah baru-baru ini, Bung yang juga Pengerusi BN Sabah mempertahankan kerusi Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Beliau meninggal dunia awal hari ini pada usia 66 tahun, kurang seminggu selepas kemenangan tersebut.
