KOTA KINABALU: Seramai 397 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Program Pemindahan Siri 21/2025 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.
Operasi itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan, sebelum mereka dibawa ke Terminal Feri Tawau dan dihantar pulang ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan tiga feri – Francis Express, Labuan Express dan Purnama Express.
Daripada jumlah itu, 286 lelaki, 76 wanita serta 35 kanak-kanak termasuk empat bayi berusia bawah dua tahun dipindahkan. Purata umur tahanan pula antara tiga hari hingga 78 tahun.
Setakat ini, 2,251 warga Indonesia sudah dihantar pulang tahun ini, menjadikan keseluruhan pemindahan tahanan asing dari Sabah meningkat kepada 10,212 orang. Semua mereka telah menjalani hukuman dan diberikan Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI).
JIM Sabah menegaskan kekerapan pemindahan bergantung kepada proses pengeluaran SPLP dan mengingatkan majikan supaya memastikan pekerja asing mempunyai dokumen sah.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap majikan yang melindungi pekerja tanpa dokumen, termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
