Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin Meninggal Dunia

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, disahkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi, Jumaat di sebuah hospital swasta di sini.

Berita pemergian tokoh politik veteran itu dimaklumkan sendiri anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar, menerusi satu hantaran di Facebook.

“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2025, pukul 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).

Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

Allahyarham yang berusia 66 tahun sebelum ini dilaporkan menerima rawatan akibat kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan teruk pada paru-paru.

Jenazah dijangka akan diuruskan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas Kota Kinabalu selepas solat Jumaat jam 2 petang ini.