KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menolak usul tergempar yang dikemukakan oleh dua ahli parlimen untuk membahaskan kontroversi pegangan saham melibatkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki semasa sidang khas parlimen hari ini.
Azhar berkata, tidak seperti sidang biasa, agenda sidang khas itu adalah atas budi bicara mutlak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
“Saya terima usul tersebut dua hari lepas dan telah menjawab bahawa sidang khas ini dipanggil PM di bawah kuasa mutlak PM di dalam aturan 11(3) peraturan majlis mesyuarat.
“Mengikut peraturan tersebut agenda sidang khas dicadangkan PM adalah di bawah kausa mutlak beliau dan beliaulah yang menyusun atur agenda tersebut.
“Oleh sebab itu saya tak ada kuasa untuk menerima usul tersebut
“Sehingga hari ini saya tak terima apa- apa notis PM mengenai usul terseubt maka saya anggap usul itu tidak akan dimasukkan dalam aturan mesyuarat hari ini,” katanya.
Agenda sidang khas parlimen hari ini adalah untuk membahaskan isu banjir kilat yang telah melanda beberapa negeri bulan lalu.
Bagaimanapun, Salahuddin Ayub (PH-Pulai) dan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) telah mengemukakan usul tergempar untuk meminta sidang itu turut membahaskan mengenai kontroversi membabitkan ketua pesuruhjaya SPRM.
Salahuddin berkata dia memahami keputusan berkenaan namun berpendapat tiada salahnya tambahan satu jam diberikan untuk membahaskan isu SPRM memandangkan perdana menteri sudah hadir di Dewan Rakyat dan boleh memberikan penjelasan.
“Perdana menteri perlu berkata sesuatu, dia ada kuasa,” kata Salahuddin.
Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak menjawab soalan yang dibangkitkan Salahuddin.
“Yang amat berhormat (Ismail Sabri) tidak berniat untuk mengatakan apa-apa,” kata Azhar.
M Kualasegaran (Ipoh Barat- PH) mencelah dengan mengatakan tiada peraturan menghalang sidang khas itu daripada turut membahaskan isu SPRM.
Dia kemudiannya mendesak Ismail Sabri untuk membenarkan isu itu dibahaskan.
“Speaker tak perlu jawab, biar perdana menteri jawab,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail Sabri masih tidak memberikan jawapan dan Azhar menegaskan dia telah pun membuat ketetapan berhubung isu itu.
Ismail Sabri kemudian mula membahaskan isu mengenai banjir kilat, namun tidak menyebut tentang kontroversi membabitkan SPRM.
Azam mencuri tumpuan berhubung pemilikan sebanyak 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015, bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.
Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad menurun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.
Dia juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.
Pemilikan saham membabitkan Azam pada 2015 dan 2016 itu menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam dan kebimbangan berlaku konflik kepentingan.
Azam mendakwa saham-saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh adiknya atas namanya, sebelum dipindahkan ke akaun adiknya itu.