KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menerima usul Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.
Perkara itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kepada BH hari ini.
Bagaimanapun, katanya keputusan belum dibuat untuk menyenaraikan usul itu dalam aturan urusan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 pada 13 September hingga 12 Oktober depan.
“Ya saya menerima usul dari YB (Yang Berhormat) Datuk Seri Azalina (Othman Said) untuk mencadangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 dan juga RUU Pemecatan Ahli-ahli Parlimen 2021 berserta dengan deraf kedua-dua RUU itu.
“Keputusan akan dibuat sama ada untuk membenarkan usul itu disenaraikan dalam aturan urusan majlis setelah aspek perundangan dan keteraturan usul diperhalusi dan diteliti,” katanya.
Semalam, Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menghantar notis cadangan usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021′ kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Menurut Azalina, usul itu adalah selari dengan inisiatif anti lompat parti yang sedang diusahakan kerajaan dan secara tidak langsung mewujudkan kebersamaan dengan semangat ‘Keluarga Malaysia’.
Notis itu, kata Azalina dihantar mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli Yang Bukan Ahli Kerajaan, untuk dibentangkan pada persidangan Parlimen yang akan bermula 13 September ini.
Melalui akta baharu itu nanti, pengundi boleh menarik semula mandat diberikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka dan hak untuk memilih wakil rakyat baharu atau mengekalkan penyandang dikembalikan kepada pengundi.
Sementara itu, mengulas mengenai berapa jumlah usul untuk menukarkan Speaker Dewan Rakyat, Azhar meminta soalan itu diajukan kepada timbalannya, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
“Pohon tanya Datuk (Mohd) Rashid. Saya tak sentuh soal ini,” katanya.
Kenyataan Azhar itu mengundang kekeliruan kerana berdasarkan laporan BH semalam, Mohd Rashid yang enggan mengulas mengenai isu terbabit dengan alasan hanya Speaker Dewan Rakyat sahaja boleh mengulasnya.
Azhar semalam juga mengesahkan ada menerima usul untuk menukarkan beliau pada persidangan yang akan datang tetapi menegaskan tidak akan membuat sebarang keputusan atau campur tangan berkaitan usul terbabit kerana mempunyai percanggahan kepentingan.
Justeru, Azhar menyerahkan apa-apa keputusan mengenai kedudukan usul berkenaan kepada timbalannya, Mohd Rashid.