Sorok 2,600 liter petrol dalam tong, warga emas dicekup

PITAS: Tindakan seorang lelaki warga emas menyimpan 2,600 liter petrol tanpa kebenaran di sebuah lokasi di Kampung Pagasaon terbongkar selepas diserbu dalam operasi bersepadu, semalam.

Dalam serbuan menerusi Ops Tiris 4.0, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kudat bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Empat menahan suspek berusia 76 tahun.

Hasil pemeriksaan menemukan petrol itu disimpan dalam 13 tong drum yang diletakkan di belakang sebuah struktur bangunan dan ditutup dengan kanvas bagi mengelak dikesan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim, berkata kes disiasat di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api,” katanya dalam kenyataan.