KPDN Sandakan tahan 2 lelaki, rampas 120 liter diesel subsidi

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan menahan dua lelaki selepas disyaki terlibat dalam cubaan menyeleweng minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di bandar ini, Jumaat lalu.

Dalam operasi kira-kira jam 11.12 pagi di bawah Ops Tiris 4.0, pihak penguat kuasa menemui 120 liter diesel subsidi yang disimpan dalam tujuh jerikin di bahagian belakang sebuah pacuan empat roda.

KPDN berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM70,258.

Hasil pemeriksaan awal mendapati dua suspek berusia antara 34 hingga 49 tahun, terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga asing, tidak memiliki permit atau kebenaran sah untuk membeli diesel subsidi berkenaan.

Menurut KPDN, operasi itu dibuat susulan pelaksanaan arahan baharu mulai 1 April 2026 yang mewajibkan kawalan penjualan diesel subsidi mengikut kategori kenderaan dan had kuantiti tertentu bagi setiap transaksi di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Kawalan ini bertujuan mengelakkan diesel subsidi pada harga RM2.15 seliter disalah guna atau diseleweng,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dan tindakan turut boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak jika didapati terlibat.