KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, SOP yang diguna pakai di Sabah sekarang dikekalkan, walaupun Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai Rabu hingga 7 Jun.
Katanya, perkara itu dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kerajaan negeri memohon pengurusan Covid-19 yang diamalkan di Sabah sekarang diteruskan.
“Dalam mesyuarat MKN petang tadi, saya telah memohon kepada perdana menteri agar Sabah meneruskan pengurusan Covid-19 seperti kaedah yang kita amalkan sekarang kerana ia terbukti berkesan.
”Permohonan saya telah dipersetujui perdana menteri dan MKN. Sehingga ada arahan baharu, saya andaikan Sabah masih berstatus PKPB atau kalau pun berstatus PKP, tetapi SOP yang digunakan hampir sama dengan SOP sekarang,” katanya dalam laporan Berita online FMT hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan PKP di seluruh negara dengan langkah khusus yang sedang dilakukan di Sabah, Sarawak dan Labuan diteruskan.
Antara SOP yang diguna pakai di Sabah ketika ini termasuk membenarkan orang ramai makan di dalam premis dan semua aktiviti sukan serta rekreasi.
Sempena Aidilfitri ini juga, ziarah hari raya dibenarkan, namun hanya dalam kalangan ahli keluarga terdekat dan tidak melebihi 20 orang.
Lain-lain aktiviti yang dibenarkan ketika hari raya ialah takbir raya dan solat sunat di masjid serta surau, jamuan selepas solat hari raya di masjid dan surau dengan syarat penyediaan makanan secara berbungkus dan diedarkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.
Menziarahi kubur ketika hari raya juga dibenarkan, tetapi tidak melebihi 30 minit dan enam orang untuk satu lot kubur.
Bagaimanapun, penganjuran rumah terbuka dan semua aktiviti perayaan dilarang sama sekali di kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Baru-baru ini, kerajaan negeri turut mengumumkan larangan rentas daerah mulai hari ini hingga 16 Mei.
SabahNewsToday