Tidak kepada Umno tetapi boleh bekerjasama dengan PBS, kata Shafie

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal menolak kemungkinan parti itu akan bekerjasama dengan Umno buat masa ini tetapi menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Bekas ketua menteri Sabah itu percaya, sebagai sebuah parti tempatan, PBS akan menjadi rakan yang paling ideal untuk bekerjasama dalam berjuang mendapatkan hak rakyat Sabah.

Menjawab soalan mengenai kemungkinan kerjasama Umno-Warisan, Shafie berkata beliau tidak memberikan tumpuan terhadap kenyataan itu sebaliknya berkata, Warisan perlu diperkukuhkan terlebih dulu.

“Ayuh kita bina rumah dahulu, perkukuhkan parti kita dahulu. Selepas parti kita kuat, baru kita boleh bincang dan lihat dengan siapa kita boleh bekerjasama,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Bagaimanapun katanya, rakyat sudah bertanya parti mana yang Warisan lebih selesa untuk bekerjasama dan beliau memberitahu parti itu adalah PBS.

“Sejujurnya saya suka untuk bekerjasama dengan PBS, saya tidak kisah, ia parti tempatan, saya tahu sentimen, semangat, kehendak dan perjuangan mereka.

“Maximus Ongkili (presiden PBS) adalah kawan lama saya dan Joachim Gunsalam (naib presiden PBS dan timbalan ketua menteri) adalah orang yang baik.

“Ayuh kita bekerjasama, mengapa tidak?”

Ketua Umno Sabah Bung Mokhtar Radin dan timbalan presiden Warisan Darell Leiking pada satu forum dalam talian minggu lalu tidak menolak kemungkinan dua parti berkenaan akan bekerjasama pada masa akan datang.

Ditanya sama ada PBS akan membuka idea untuk bergabung, berikutan penentangan mereka terhadap pemerintahan Warisan sebelum ini, Shafie berkata: “Saya tidak tahu, terpulang kepada mereka.”

“Saya hanya memikirkan kepentingan Sabah dan rakyatnya, itu sahaja. Jika mereka menentang (untuk bekerjasama), tidak mengapa, tak ada masalah. Saya juga tidak membincangkan perkara ini dalam parti saya, ia (idea itu) hanya timbul.

“Sebab kamu sudah melihat perkara itu di Sarawak, apabila kamu mempunyai kedudukan yang sangat kuat di rumah (negeri), maka ia sangat bagus untuk kita (Sabah),” katanya sambil menambah beliau masih belum berhubung dengan Ongkili mengenai perkara itu.

Bercakap mengenai kerjasama Warisan-Umno sebelum ini, Shafie maklum bahawa Umno sudah menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Warisan.

“Mereka memberitahu kita apa yang mereka mahu tetapi tidak bertanya apa yang kami mahu. Ia tidak sepatutnya begitu, ia bukan laluan trafik sehala….sistem sudah tidak lagi begitu, mereka perlu tahu apa yang rakyat Sabah mahukan,” katanya.

Beliau berkata, Warisan bagaimanapun perlu bekerjasama dengan parti dari Semenanjung termasuk parti Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad jika mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.

“Sudah tentu kita perlu sejajar dengan parti kebangsaan juga kerana kita adalah satu negara. Kita tidak boleh berpura-pura kita (kuat) bersendirian.

“Kita perlu menjadi sekutu dengan saudara kita di Semenanjung. Pilihan raya akan datang adalah penting bagi kita untuk memastikan kira berada dalam kerajaan selepas itu,” katanya.

Shafie juga menegaskan bahawa ganjaran dan jawatan bukanlah sesuatu yang dikejar Warisan.

‘Kita boleh bekerja dengan sesiapa sahaja untuk kepentingan negara dan sudah tentu ia perlu sejajar dengan perjuangan kita tetapi kita tidak mahu hak Sabah dan Sarawak diabaikan, kita mesti membina negara. Itu yang kita mahu,” katanya.

Ahli Parlimen Semporna itu menegaskan bahawa Warisan sudah menunjukkan usahanya sebelum ini dalam mengembalikan hak Sabah dan Sarawak melalui Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2019 di Parlimen meskipun ia gagal.

Katanya, kerajaan pusat perlu sedar bahawa perkara seperti pengembalian cukai 40% yang dipungut dari Sabah dan hak-hak lain seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 adalah penting bagi rakyat Sabah.

“Sekiranya itu dapat direalisasikan maka ia bertahan lama … di sinilah kamu dapat mengikat hati semua rakyat Malaysia.

“Ini bukan soal jawatan, bukan untuk memberikan keselesaan kepada ahli politik atau ahli parti kita tetapi untuk memberikan keselesaan kepada rakyat,” kata Shafie.

SabahNewsToday

Leave a Reply