SOP PRN Johor tidak seketat PRN Melaka, Sarawak – KJ

PORT DICKSON: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi bayangan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan ditetapkan seketat PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini.

Beliau berkata, perincian berhubung SOP itu akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum penamaan calon PRN Johor pada 26 Februari ini.

“SOP (PRN Johor) masih agak ketat, tetapi bukan macam sebelum ini. Ada perkara yang KKM tidak benarkan, tetapi ada perkara yang kita benarkan, namun ia berbeza daripada PRN Melaka dan Sarawak.

“Kita benarkan PRN sewaktu gelombang Omicron, tetapi Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah buat kajian dari segi kesan Omicron terhadap kesihatan awam dan dari segi liputan vaksinasi kita.

“Kita masih lagi yakin bahawa PRN boleh dilaksanakan, namun terpulang kepada pematuhan (terhadap SOP) daripada orang ramai termasuk pemimpin politik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemeteraian Kerjasama Promosi Kesihatan, di sini hari ini.

Katanya, ketika PRN Melaka dan Sarawak pada tahun lalu, tidak ada kluster COVID-19 dikesan, namun KKM akan memantau rapat perkembangan kes jangkitan Omicron yang semakin meningkat ketika ini.

“Kita sudah ada dua pilihan raya sebelum ini, tidak ada peningkatan kes, namun disebabkan ketika ini negara berada dalam gelombang Omicron, maka akan ada peningkatan kes dan kita harap kes tidak bergelaja teruk yang mana boleh teruskan PRN.

“Jangkitan Omicron di negara lain pun cepat merebak namun kesannya tidaklah seburuk varian Delta dan tempoh rawatan pun lebih singkat, mungkin sebab kita sudah ada perisai (vaksin). Namun kita harus berhati-hati dan tidak memandang mudah (kesan jangkitan).

“Ini kerana ia juga boleh menjadi bahaya kepada mereka yang ada penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, jantung dan sebagainya,” katanya mengibaratkan mereka yang sudah lengkap menerima vaksin COVID-19 serta dos penggalak seperti sudah ada perisai pertahanan diri daripada virus terbabit.

Beliau menegaskan, kerajaan maklum rakyat semakin bosan dengan penularan virus berkenaan, namun semua pihak perlu menghadapi kenyataan, malah penularan wabak itu bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lebih dua tahun merebak hampir ke seluruh dunia.

“Cuma kita harus bersedia dengan sebarang kemungkinan. Pencegahan lebih baik daripada merawat dan kita harus ada kesedaran tentang gaya hidup yang sihat. Pada masa sama, kita berharap bilangan kes dapat dikurangkan atas kesedaran orang awam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KKM akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di kedai makan dan tempat awam bagi memastikan pematuhan SOP dalam mengekang penularan COVID-19.

“Kita harap rakyat patuh kepada undang-undang, penguatkuasaan akan diteruskan di kedai-kedai makan dan orang ramai diharap bekerjasama mematuhi undang-undang demi kebaikan semua pihak,” katanya.