KOTA KINABALU: Kompleks Perindustrian Tenaga Diperbaharui Sabah Maju Jaya (SMJREIC) bernilai RM1 bilion akan dibangunkan di kawasan seluas 10.1171 hektar di Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar di sini, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Beliau berkata usaha merealisasikan SMJREIC akan dilaksanakan Suria Capital Holdings Bhd dengan kerjasama Vandelay Ventures Sdn Bhd dan beberapa lagi syarikat swasta.
“Saya gembira Suria Capital menambah satu lagi portfolio pelaburan berpotensi dalam senarai usaha niaga dipacu pihak swasta yang berjaya di negeri ini. Saya berharap untuk melihat hasil Memorandum Persefahaman (MoU) ini dalam masa terdekat,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani MoU antara Suria Capital sebagai pemilik tanah dan Vandelay Ventures serta rakan kongsi termasuk Sawit Kinabalu dan Lembaga Kemajuan Negeri Sabah (SLDB) sebagai pembekal bahan mentah, SULZER GTC Technology sebagai penyedia teknologi dan Thinkat Advisory Sdn Bhd sebagai rakan kongsi kewangan.
Hajiji berkata SMJREIC akan mendorong meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri, menjana peluang pekerjaan dan membawa masuk teknologi baharu ke Sabah.
“Sebagai ketua menteri, saya gembira kerjasama ini melibatkan Suria Capital, yang merupakan antara syarikat awam berhad yang mempunyai reputasi tinggi di negeri ini, dan mereka akan memainkan peranan besar dalam membantu memastikan projek berdaya maju ini dilaksanakan,” katanya.
Apabila siap, SMJREIC akan menempatkan Terminal Pukal Minyak Makan dengan kapasiti 30,000 tan selain Kompleks Penapisan Minyak Sawit pertama dengan kapasiti 100,000 tan setahun.
Loji Minyak Sayuran Berhidrogen (HVO) yang pertama di Malaysia dengan kapasiti 250,000 tan setahun juga akan berada di dalam komples tersebut dan akan menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Beliau berkata kompleks dan kemudahan serta industri sampingannya dianggarkan akan menjana kira-kira 10,000 peluang pekerjaan baharu.
“Saya juga gembira kerana setakat Jun tahun lepas, Sabah memperoleh pelaburan asing bernilai RM4.4 bilion, yang ketiga terbesar di negara ini. Saya juga telah mengingatkan bahawa kita terus menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan alternatif yang menarik dan mesra pelabur,” katanya.
— BERNAMA