SK Paris 3, sekolah pertama di Sabah semua murid,guru, kakitangan beragama Islam buka akaun simpanan TH

KINABATANGAN: Semua murid, guru dan kakitangan Islam Sekolah Paris 3 di sini seramai 478 orang telah membuka akaun simpanan Tabung Haji (TH).

Sekolah tersebut menjadi sekolah pertama di Sabah dengan 100 peratus murid, guru dan kakitangan beragama Islam membuka akaun simpanan TH.

Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak Datin Nurlaila Said berkata
usaha ini sekaligus memberi galakan serta dorongan kepada para pelajar untuk menabung sedikit demi sedikit bermula pada usia muda supaya boleh digunakan untuk menyempurnakan fardu haji.

“Aktiviti pembukaan akaun di sekolah tersebut telah dilakukan sejak 22 Jun lalu melalui kaunter bergerak TH serta secara dalam talian menerusi pautan dan aplikasi THiJARI dengan simpanan permulaan serendah RM2 sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata TH berharap inisiatif ini akan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain agar dapat menerapkan minat menabung diusia muda.

Di samping berusaha untuk menyempurnakan rukun Islam, katanya, kelebihan menyimpan wang di TH juga turut meyakinkan pelajar dan guru sekolah bahawa simpanan di TH yang patuh syariah, jaminan penuh Kerajaan dan zakat yang dilunaskan.

Pada masa kini, Nurlaila berkata seramai 523,584 atau 33.78 peratus umat Islam di Sabah telah membuka akaun TH dengan pendaftaran haji seramai 164,958 orang atau 31.51 peratus.