KUALA LUMPUR: UMNO akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis, berhubung tindakannya menyertai program anjuran Perikatan Nasional (PN) di Johor kelmarin.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, surat tunjuk sebab akan diberikan Lembaga Disiplin parti kepada Muhammad Jailani sebelum sebarang keputusan mengenai tindakan sewajarnya dibuat.
Beliau menegaskan, UMNO ada proses tersendiri untuk menguruskan isu berkenaan mengikut peruntukan yang ditetapkan.
“Kita ada proses (untuk menguruskan isu ini) dan akan keluarkan surat tunjuk sebab terlebih dahulu kepada beliau.
“Seterusnya beliau akan diminta menjawab surat tunjuk sebab berkenaan, sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.
“Surat berkenaan belum dikeluarkan setakat ini, kerana kita baru terima laporan mengenai kejadian ini semalam dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada BH.