384,000 batang rokok kretek di rampas Kastam di Tawau  

TAWAU: Kastam Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 384,000 batang rokok kretek di kawasan persisiran Pantai Cowie Bay, Batu 2 Jalan Apas, di sini Selasa lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata semua rokok kretek pelbagai jenama itu, dengan jumlah cukai bernilai RM261,120.00.

Katanya, rampasan tersebut adalah hasil maklumat serta risikan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau, kira-kira 9.15 malam.

“Hasil pemeriksaan di kawasan pesisir pantai berkenaan telah mengesan longgokan kotak dalam keadaan yang mencurigakan ditinggalkan di kawasan terbabit.

“Setelah diperiksa di dalam kotak terbabit mengandungi rokok kretek pelbagai jenama disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di daerah ini,” katanya di sini hari ini.

Mohd Nasir berkata, pihaknya masih mengesan pemilik barang berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jelas beliau, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar.

“Atau tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.