SIRIM buka hab baharu di Sabah

KOTA KINABALU: Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) membuka hab baharu bidang tentukuran di Sabah.

Pengerusi SIRIM Berhad, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali berkata inisiatif tersebut bagi menyokong saranan dan permintaan agensi serta industri di Sabah.

“Perkhidmatan di hab anak syarikat SIRIM, Standards Technology Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan tentukuran elektrikal, suhu, tekanan, jisim dan dimensi.

“Diharap perkhidmatan ini akan memberi impak positif kepada sektor industri berkaitan,” katanya semasa Majlis Perasmian Program Keterlibatan SIRIM-Industri, pada Isnin.

Beliau turut memaklumkan SIRIM menawarkan 75 jenis perkhidmatan persijilan  dengan lebih 700 organisasi kini diperakui skim Pensijilan Sistem Pengurusan  SIRIM.

“SIRIM melabur dalam kepakaran, peralatan dan sistem baharu untuk memastikan mempunyai keupayaan dan kecekapan menyokong badan pengawal selia apabila peraturan teknikal baru diperkenalkan.

“Pengwujudan ekosistem inovasi Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) merangkumi penyelidikan industri, pembangunan teknologi dan pengkomersialan serta perkhidmatan akses pasaran untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan PKS.

“Kewujudan SIRIM sejak tahun 1975 dengan lebih 40 tahun pengalaman, mampu menawarkan aplikasi teknologi dan peningkatan produktiviti dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, minyak dan gas, serta perkhidmatan,” ujarnya.

Tambah beliau, melalui aktiviti pembangunan usahawan di Sabah, SIRIM berjaya membantu lebih 1,000 pengusaha dalam pelbagai jenis perkhidmatan seperti pengujian, latihan, perundingan, pembangunan, pematuhan standard, pembangunan produk, automasi dan penambahbaikan proses,” katanya lagi.

Turut berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman(MoU) antara SIRIM dan Lembaga Kemajuan Tanah Sabah.