KOTA KINABALU : Kerajaan merekodkan seramai 18,853 miskin tegar berdaftar dalam sistem E-kasih iaitu sebanyak 16.5 peratus jumlah keseluruhan Ketua Isi Rumah (KIR) yang hanya berdaftar dalam sistem E-kasih, di negeri ini.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Dr Ruddy Awah berkata, maklumat disalurkan d Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO), setakat 31 Oktober lalu sekali gus menghadapi cabaran utama mencapai sasaran untuk menoktahkan miskin tegar di Sabah.
Katanya, mengikut rekod jumlah miskin tegar yang berdaftar dalam sistem E-kasih terlalu ramai masing-masing berada di kawasan luar bandar.
“Kedudukan miskin tegar yang berada di kawasan pedalaman menyukarkan mereka untuk menyertai program peningkatan pendapatan ditawarkan pihak kerajaan.
“Peruntukan agensi pemberi bantuan habis digunapakai sepanjang tahun 2023 ini menyebabkan program bantuan yang bersesuaian untuk miskin tegar terpaksa dilaksanakan menggunakan peruntukan tahun hadapan,” katanya pada jawapan pertanyaan lisan Ahli (Datuk Hassan A Gani Pg. Amir -Sebatik) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Ruddy berkata, kriteria golongan miskin tegar tidak menepati kehendak bantuan meliputi bantuan pertanian tetapi tidak memiliki tanah untuk diusahakan.
“Miskin tegar yang berdaftar dalam sistem E-kasih majoriti berumur melebihi umur golongan produktif iaitu di atas 64 tahun.
“Mentaliti miskin tegar yang enggan berhijrah dari tempat asal, tidak mempunyai kemahiran tertentu untuk kemajuan diri sendiri,” jelas Ruddy.
Beliau menambah, miskin tegar juga dikenalpasti enggan bekerjasama untuk melaksanakan program-program dianjurkan serta pemprofilan isi rumah miskin tegar berkenaan keperluan jenis bantuan yang bersesuaian belum siap dilaksanakan.