KOTA KINABALU : Suruhanjaya Tenaga Sabah (Energy Commission of Sabah – ECoS) akan mengambilalih kuasa kawal selia pembekalan elektrik bermula pada 3 Januari 2024
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penubuhan ini selepas Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberi kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri pada 3 Januari 2024.
“Suruhanjaya ini adalah pihak berkuasa yang mengawal selia hal-hal berhubung pembekalan dan pengagihan gas.
“Suruhanjaya ini telah pun ditubuhkan melalui Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 yang telah berkuat kuasa pada 10 Januari 2023,” katanya pada ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
Berhubung dengan Unit Tenaga Negeri Sabah, Nizam berkata, unit ini adalah agensi di bawah Jabatan Ketua Menteri yang bertanggungjawab mengenai penggubalan dasar serta hal ehwal pentadbiran sektor tenaga bagi negeri Sabah selari dengan hala tuju Kerajaan Negeri bagi memastikan kelestarian bekalan tenaga di negeri Sabah.
Katanya, mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah yang telah diadakan pada Jun lepas, pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Pelan Pembangunan Penjanaan (Power Development Plan atau PDP) bagi memenuhi keperluan permintaan pengguna di Sabah.
Beliau berkata, Pelan Pembangunan Penjanaan ini telah mengambil kira pertumbuhan organik (iaitu unjuran penambahan keperluan beban yang lazim yakni peningkatan pengguna domestik dan pengguna kategori lain yang kecil);l dan Keperluan beban ‘Step Load’ oleh pengguna dari industri besar yang komited.
“Strategi perancangan dalam Pelan Pembangunan Penjanaan adalah dibahagi kepada tiga fasa iaitu Fasa Penyelesaian Segera (2023- 2025) adalah untuk mencapai jidar simpanan penjanaan ke tahap kukuh iaitu 30 peratus.
Dengan erti kata lain, Nizam berkata, simpanan penjanaan perlu mempunyai lebihan 30 peratus (sekitar 30MW) berbanding beban maksima grid Sabah (yang kini telah mencecah hampir 1,100MW).
Beliau berkata untuk tujuan ini, beberapa projek telah dikenal pasti untuk dilaksanakan seperti penyewaan set-set jana kuasa berasaskan bahan api diesel sehingga 100MW secara berperingkat iaitu 40MW pada bulan Disember 2023 dan 60MW pada Mac 2024.
Daripada jumlah ini, katanya, 90 megawatt akan ditempatkan di Pantai Timur Sabah; Pelanjutan operasi loji jana kuasa berasaskan bahan api diesel sedia ada di Tawau sebanyak 70MW.
Katanya penyiapan projek Solar Berskala Besar sebanyak 62MW pada tahun 2024, di mana 41MW terletak di Pantai Timur Sabah.
Menurutnya cadangan pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) di Pantai Timur Sabah sebanyak 100MW yang dijadualkan untuk penyiapan pada 2026 akan diawalkan untuk sasaran penyiapan pada 2024.
Katanya pengoperasian sumber-sumber Tenaga Hijau melalui program Tarif Galakan (Feed in Tariff ) dari sumber mini hidro berkapasiti 31.6MW di Pantai Barat dan biogas berkapasiti 5.6MW di Pantai Timur Sabah pada 2024 dan Penambahan projek Solar Berskala Besar (Large Scale Solar atau LSS) sebanyak 100MW pada 2025.
Nizam berkata, langkah-langkah penyelesaian segera ini akan memulihkan jidar simpanan ke tahap yang kukuh dan kedudukan bekalan elektrik yang berdaya harap
Katanya fasa Penyelesaian Jangka Sederhana (2026- 2030) adalah antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400MW, projek Solar Berskala Besar berjumlah 100MW dan lain-lain projek penjanaan.
Di samping itu, beliau berkata, terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVoltv (KV) iaitu penyiapan talian penghantaran sambung tara grid Sabah dengan Sarawakdanprojektalian penghantaran Southern Link.
Ini katanya, akan mengukuhkan lagi kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya daripada pengguna– pengguna industri di masa akan datang. Fasa Penyelesaian Jangka Panjang (Selepas 2030) adalah tertumpu kepada mempertingkatkan potensi hidro elektrik di negeri Sabah melalui hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dilaksanakan oleh ECoS.
Di samping itu, katanya, penerokaan ke atas teknologi dan sumber penjanaan baharu akan dilaksanakan juga seperti geothermal, angin dan hidrogen.
“Perancangan sambung tara talian penghantaran di antara Sabah dan Kalimantan Utara juga akan diterokai berdasarkan hasil kajian kebolehlaksanaan yang akan dibuat pada tahun ini.
“Pelan pembangunan penjanaan ini adalah selari dengan Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 atau SERAMP 2040) yang telah dilancarkan pada 19 September lepas.
“Salah satu daripada 16 pelan strategi yang telah dikenal pasti dalam SE-RAMP 2040 adalah penambahan komposisi Tenaga Boleh Baharu di dalam campuran penjanaan tenaga elektrik di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata peratusan kapasiti Tenaga Boleh Baharu adalah disasarkan melebihi 50 peratus pada tahun 2035 berbanding dengan sembilan peratus pada ketika ini. Sasaran ini akan terus dipertingkatkan sehingga mencapai lebih 80 peratus pada 2050.
Tambahnya, perancangan-perancangan ini akan diperhalusi dan seterusnya dipantau oleh ECoS setelah pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dilaksanakan pada awal tahun hadapan.